Tuesday, December 14, 2010

Kisah Zulaikha

Saya kongsikan bersama anda artikel ini sebagai satu motivasi. Artikel ini disiarkan didalam Mingguan Malaysia Ahad 26 Mac 2006, Luahan Rasa bersama Putri dan saya pernah publish artikel nie dalam blog saya yang satu lagi tapi blog tu dah diprivatekan.  Artikel ini saya simpan kerana ia amat bermakna buat diri saya. Penulis iaitu Zulaikha telah memberikan satu semangat dalam diri saya untuk melakukan perubahan yang sama.

*********************************************


Putri,

Kira-kira empat tahun nan lalu, saya mengalami masalah berat badan yang sangat serius. Berat badan saya pada masa itu telah mencecah 98kg. ketika itu, saya berasa sungguh tertekan dan rendah diri yang amat sangat. Saya dibeza-bezakan dan sering dijadikan bahan senda gurau serta ejekan orang.
Bukan itu sahaja penderitaan yang saya alami. Paling perit apabila saya sering kali gagal dalam mendapatkan pekerjaan. Malah, saya pernah dihina ketika temu duga gara-gara fizikal saya yang gemuk. Buat pengetahuan Putri, saya mempunyai kelulusan akademik dari sebuah university luar Negara. Mempunyai kelayakan professional dalam bidang perakaunan, berkemahiran dalam pengurusan pejabat, amat fasih berbahasa inggeris dan mampu menguasai mandarin dengan baik.

Kelulusan saya itu sepatutnya melayakkan saya memegang jawatan professional dalam syarikat. Tetapi oleh kerana sukar mendapatkan pekerjaan disebabkan oleh majikan yang pendek akal dan memilih bulu-hanya memandang kesempurnaan fizikal, saya hanya mampu bertugas disebuah agensi pelancongan sebagai kerani biasa dengan gaji hanya RM600 sebulan!. Gaji yang jauh sepuluh kali ganda berbeza jika dibandingkan dengan kelayakan akademik yang saya ada. Semuanya gara-gara saya berbadan besar.

Tiada seorang lelaki pun yang ingin memandang saya walau hanya sebelah mata. Kawan-kawan meminggirkan saya kerana malu untuk berkawan dengan orang selekeh seperti saya. Saya hidup seorang diri, saya kerap menangis mengenangkan nasib diri. Saya malu berdepan dengan masyarakat dan keyakinan diri saya hilang sama sekali.

Saya telah mencuba pelbagai cara untuk mengurangkan berat badan tetapi semangat saya sering putus separuh jalan. Berbagai-bagai jenis ubat melangsingkan badan juga telah saya cuba namun hasilnya hanya sementara. Malah kesan sampingan yang saya terima amat buruk sehinggakan saya terlantar di hospital.

Oleh itu, saya suka mengingatkan di sini agar mana-mana pembaca yang berhasrat menguruskan badan agar mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu sebelum mencuba apa-apa produk yang terdapat di dalam pasaran. Untuk kebaikan anda juga supaya tidak mendatangkan kemudaratan lain. Saya bercakap berdasarkan pengalaman.

Satu ketika, saya terpanggil untuk mencuba diet saya sendiri tanpa bantuan sebarang ubat pelangsing. Saya bertekad untuk menguruskan badan kerana saya tidak mahu terus hidup dalam satu keadaan yang serba tidak berguna. Saya sayangkan diri saya. Diet saya bermula dengan mengawal pemakanan, saya makan dua keeping roti, minum bergelas-gelas air putih, saya hanya makan sayur-sayuran dan ikan yang direbus dengan dua sudu nasi setiap hari.

Saya akan berhenti mengambil makanan selepas pukul 5 petang. Setiap pagi selepas solat subuh, saya akan berjogging, selama satu jam. Balik dari kerja, saya bersenam aerobic di rumah selama sejam lagi. Dua kali seminggu saya akan ke gim bagi tempoh dua jam. Setelah setahun berlalu, saya beroleh hasilnya. Berat badan saya kini 50kg sahaja.

Kalau dulu orang yang sebaya dengan emak saya memanggil saya kakak kerana saya jauh lebih tua dari usia saya tetapi kini orang tidak percaya jika saya katakana saya sudah berumur 30 tahun. Selain menjaga badan, saya juga merawat diri dan wajah dengan ke salun kecantikan. Hendak dijadikan cerita Putri, ketika inilah lelaki-lelaki yang selama ini tidak perasan dengan kewujudan saya, telah mula membuka mata mereka seluas-luasnya.

Saya akhirnya mendapat kerjaya yang setaraf dengan kelayakan saya. Betullah kata orang, jika kita cantik keyakinan kita akan tinggi, setinggi menara KLCC. Dengan kerjaya yang saya miliki, berkereta besar, saya sering menjadi buruan lelaki. Tidak keterlaluan saya katakan, kini saya adalah kegilaan ramai lelaki.
Tetapi maaflah, hati saya belum terbuka untuk sesiapa kerana saya tahu mereka cuma cintakan paras rupa saya sahaja, tidak lebih dari itu. Jika saya kembali seperti dahulu semula, potong jari, tidak mungkin mereka akan menerima saya.


 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...